KOTA BHARU, 10 Ogos - Dua individu didakwa menganiaya penyanyi dikir barat moden, Eda Ezrin berkaitan kes dadah di negeri jiran, Thailand, diburu pihak polis.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata keterangan diberi Eda atau Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail, serta suami dan rakannya adalah konsisten.
Kesemua mereka mendakwa dianiaya oleh dua rakan membabitkan seorang lelaki dan wanita.
Individu terbabit telah dikenal pasti dan berada dalam pemerhatian pihaknya.
"Rakaman percakapan konsisten dianiaya oleh rakan itu sendiri.
"Kita pun dah ambil butiran, rakannya itu dalam perhatian dan siasatan kita," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Datuk Mohd Yusoff menjelaskan individu terbabit ada rekod lampau berkaitan dadah dan berada dalam pemantauan pihak polis.
Polis masih boleh memanggil Eda Ezrin dan lima yang lain jika ada keperluan untuk membantu siasatan, katanya.
Terdahulu, media melaporkan mereka dibebaskan dari Penjara Wilayah Narathiwat pada 6 Ogos lalu selepas lebih sembilan bulan dipenjara.
Mereka kemudian dihantar pulang ke Kelantan minggu lalu sebelum polis merakam percakapan di Balai Polis Rantau Panjang dan IPK Kelantan.