fb fb fb fb fb

Lebih 5,000 kg ayam sejuk beku diragui status halal, dirampas

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam merampas 5,076 kilogram keratan ayam sejuk beku diragui status halal

BUKIT KAYU HITAM, 10 Ogos - Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam merampas 5,076 kilogram keratan ayam sejuk beku bernilai RM62,130 yang diragui status halal.
 
Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, SAC Mohd Nasaruddin M. Nasir berkata, dalam kejadian pada pukul 6.42 petang, Jumaat lalu, pihaknya menahan sebuah kontena yang datang dari negara jiran di kaunter gunasama AKPS, Blok E, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.
 
Seorang ejen telah membuat pengisytiharan import ayam sejuk beku atau 'Chicken Drumstic Froozen' milik syarikat tempatan.
 
Bagaimanapun pemeriksaan fizikal mendapati, label tarikh luput, tarikh pengeluaran dan kod pengeluaran pada pembungkusan tidak sepadan dengan maklumat dalam sijil halal yang diisytihar.
 
Kesemua ayam sejuk beku berkenaan dirampas dan kes disiasat bawah Seksyen 13, Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan 2011 (Akta 728).
 
Tegas SAC Mohd Nasaruddin, cubaan membawa masuk barang kawalan yang tidak mempunyai status halal meragukan akan memberi kesan kepada keselamatan makanan dan ekonomi negara.
 
Pihaknya amat menekankan isu halal pada barangan import kerana barangan tersebut akan dipasarkan di premis perniagaan termasuk pasar raya seterusnya ke kedai-kedai makan.
 
Justeru kawalan di pintu masuk sempadan termasuk pemeriksaan ke atas kenderaan barangan sentiasa dipertingkatkan.
 
Sejak April lalu hingga kini, AKPS Bukit Kayu Hitam berjaya menggagalkan tiga cubaan membawa masuk 13,308 kilogram keratan ayam sejuk beku bernilai lebih RM202,325 yang diragui status halal menerusi pintu sempadan Malaysia-Thailand di Bukit Kayu Hitam.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI