fb fb fb fb fb

Lelaki Vietnam mencuri di pasar raya, larikan bayi sambil acu pisau

Tagkap layar video tular menunjukkan seorang lelak yang mencuri di sebuah pasar raya bertindak agresif melarikan seorang bayi berusia 11 bulan daripada dakapan ibunya

BUTTERWORTH, 9 Ogos – Seorang lelaki warga Vietnam yang mencuri di sebuah pasar raya bertindak agresif melarikan seorang bayi berusia 11 bulan daripada dakapan ibunya sambil memegang sebilah pisau, sebelum berjaya ditahan orang awam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Anuar Abd Rahman mengesahkan kejadian yang berlaku kira-kira pukul 12.45 tengah hari itu.

Menurutnya, insiden bermula apabila penyelia pasar raya menahan suspek kerana disyaki mengambil beberapa makanan laut tanpa membuat pembayaran.

“Suspek kemudian melarikan diri sebelum cuba ditahan semula oleh penyelia bersama beberapa pekerja. Suspek bertindak agresif, bergelut dengan orang awam, dan menarik seorang bayi lelaki yang berada dalam pelukan ibunya,” katanya.

Akibat kejadian itu, belakang badan bayi berkenaan mengalami lebam.

Suspek ditahan di lokasi dan akan dibawa ke Mahkamah Butterworth esok untuk permohonan reman.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan (mencuri dalam bangunan), Seksyen 324 (mendatangkan kecederaan) dan Seksyen 506 (ugut jenayah).

Terdahulu, tular di media sosial rakaman video dan gambar memaparkan tindakan suspek mencuri dalam premis serta tidak mempedulikan arahan pekerja supaya berhenti untuk pemeriksaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE