KEPALA BATAS, 9 Ogos β Polis sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian mengibar Jalur Gemilang secara terbalik di Kepala Batas yang tular di media sosial, tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Anuar Abd Rahman berkata, pihaknya telah merakam percakapan pengadu dan suspek petang tadi bagi membantu siasatan.
Menurut beliau, siasatan awal sedang dijalankan sebelum sebarang tindakan lanjut diambil, selain menyeru orang ramai agar tidak mensensasikan isu ini bagi mengelakkan gangguan terhadap proses siasatan.
βKes disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Pencegahan Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,β katanya.
Terdahulu, satu rakaman video berdurasi 21 saat yang memaparkan seorang lelaki mengibarkan Jalur Gemilang pada sebatang besi dalam keadaan terbalik tular di platform media sosial.
Dalam video tersebut, seorang lagi individu dirakam sedang merakam aksi berkenaan, yang kemudiannya mencetuskan pelbagai reaksi warganet.
Perbuatan itu dikecam ramai memandangkan ia berlaku menjelang sambutan Hari Kemerdekaan ke-68 hujung bulan ini, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap sikap segelintir pihak yang tidak menghormati simbol negara.