SEGAMAT, 14 Ogos - Seorang lelaki berumur 20 tahun ditahan di Kilometer 3 Jalan Yong Peng - Segamat, Johor dipercayai terlibat kes curi kenderaan di daerah itu.
Ketua Polis Daerah Segamat, Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, tangkapan dibuat pada Selasa lepas semasa unit peronda menjalankan rutin rondaan.
Setibanya di Jalan Labis – Chaah, pasukan unit peronda mengesan sebuah kereta yang dilaporkan hilang, lalu mengekori kereta itu dan mengarahkan suspek berhenti.
Suspek bagaimanapun bertindak melarikan diri menuju ke Yong Peng, Batu Pahat, sehingga melanggar beberapa kenderaan lain, sebelum berjaya ditahan.
Siasatan mendapati suspek mempunyai satu rekod jenayah lampau, dan dikehendaki dalam kes narkotik.
Lelaki itu direman hingga 16 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A, Seksyen 186 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan.