KOTA KUALA MUDA, 13 Ogos -Cubaan seorang lelaki menjadikan kenderaan utiliti sukan (SUV) sebagai ‘tangki minyak bergerak’ untuk menyeludup petrol ke tapak pembinaan gagal.
Lelaki berusia 24 tahun itu ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kuala Ketil dalam satu operasi di Kampung Rantau Panjang, Kota Kuala Muda semalam.
Pengarah JPJ Kedah Stien Van Lutam berkata, dalam rondaan di laluan panas Tikam Batu-Kota Kuala Muda, pasukan penguat kuasa mengesan SUV berwarna gelap itu berulang kali mengisi minyak di beberapa stesen.
"Kenderaan berkenaan kemudian dipintas di sebuah stesen Minyak sebelum pemeriksaan lanjut dijalankan. Hasilnya, taktik licik terbongkar apabila lebih 500 liter petrol ditemui disorok dalam tangki tambahan yang dipasang secara tersembunyi. Malah, struktur dalaman kenderaan diubah suai ekstrem lengkap dengan saluran khas bagi memudahkan pemindahan bahan api," katanya menerusi satu kenyataan.
Difahamkan, petrol itu dikumpul sedikit demi sedikit sebelum dihantar ke tapak pembinaan dan premis industri.
Suspek tersebut disiasat bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Akta Kawalan Bekalan 1961, manakala kenderaan disita.
Kes dirujuk kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan lanjut.
Tegas Stien Van Lutam, rondaan di laluan panas akan terus diperketat bagi membanteras kegiatan penyeludupan bahan api di daerah berkenaan serta beberapa kawasan lain.