fb fb fb fb fb

Polis sahkan ketidakpatuhan SOP pegawai penyiasat dalam kes Zara Qairina

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar (tengah)

KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Pegawai penyiasat yang gagal memohon bedah siasat pada peringkat awal dikenal pasti sebagai punca utama ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam kes kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, SOP menetapkan bedah siasat perlu dijalankan jika punca kematian tidak dikenal pasti atau terdapat unsur mencurigakan.

“Ketidakpatuhan di sini ialah pegawai penyiasat tidak memohon untuk bedah siasat pada peringkat awal, sedangkan itu adalah asas siasatan sekiranya kematian menimbulkan keraguan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Menurutnya, walaupun ibu mangsa menandatangani dokumen enggan membenarkan bedah siasat, pegawai penyiasat masih mempunyai kuasa di bawah undang-undang untuk membuat permohonan sekiranya terdapat keraguan terhadap punca kematian.

"Terdapat persetujuan atau permohonan ibu mangsa supaya bedah siasat tidak dibuat dan persetujuan itu direkodkan dengan tanda tangan di dalam satu surat atau dokumen yang dikeluarkan oleh pihak hospital.

"Dokumen itu turut ditandatangani oleh doktor patalogi serta pegawai penyiasat. Surat itu bertajuk; “Surat akuan enggan bedah siasat mayat atas kemahuan sendiri," katanya.

Tambahnya, polis kini meneliti tindakan tegas terhadap pegawai penyiasat serta pegawai penyelia yang gagal mematuhi SOP, termasuk kemungkinan penggantungan tugas yang kini peringkat siasatan.

Susulan perbincangan bersama agensi berkaitan pada 10 Ogos lalu, bedah siasat kedua dijalankan atas permintaan polis oleh tiga doktor dari Hospital Serdang dan Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Kumar berkata, dapatan bedah siasat kedua selari dengan diagnosis awal iaitu kecederaan otak teruk disebabkan kekurangan oksigen dan aliran darah ke otak.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I pada 17 Julai lalu, sehari selepas ditemui tidak sedarkan diri dalam longkang berhampiran asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar.

Pada 9 Ogos, kuburnya di Tanah Perkuburan Islam Tanjung Ubi, Kampung Mesapol, Sipitang digali semula untuk proses bedah siasat sebelum dikebumikan semula awal pagi Ahad.

Kumar memaklumkan semua dapatan bedah siasat sudah dijelaskan kepada keluarga mangsa secara telus.

Beliau berkata, siasatan kini berjalan dalam dua hala tuju iaitu permohonan inkues kepada koroner serta siasatan jenayah termasuk elemen buli mengikut Seksyen 507(2) Kanun Keseksaan.

GRACE AISYAH KEDAYAN