KUALA LUMPUR, 13 OGOS - Seorang wanita berusia 39 tahun ditahan di Rawang bagi membantu siasatan, sekali gus menjadi antara 15 kertas siasatan yang dibuka polis berhubung penyebaran berita palsu berkaitan kematian Allahyarham Zara Qairina Mahathir.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kesemua kertas siasatan itu melibatkan pelbagai bentuk maklumat tidak sahih yang berpotensi mengganggu ketenteraman awam serta menjejaskan proses siasatan.
“Kita akan mengambil tindakan tegas kerana penyebaran berita tidak benar boleh mempengaruhi persepsi awam terhadap kes yang masih dalam siasatan, selain menimbulkan kekeliruan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, hari ini.
Beliau berkata, antara dakwaan palsu yang disiasat termasuk kononnya mangsa dimasukkan ke dalam mesin basuh, yang tular di media sosial.
Menurutnya, wanita berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,
"Wanita terbabit telah dibebaskan dengan jamin polis sementara menunggu laporan forensik terhadap peranti yang dirampas," katanya.