KUALA LUMPUR, 13 Ogos -Dua lelaki tempatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan berasingan merancang rompakan berkumpulan dan merompak wang tunai berjumlah RM600,000, minggu lalu.
Tertuduh pertama, Tiong Keeh Fat, 45, didakwa mengikut Seksyen 399 Kanun Keseksaan.
Manakala tertuduh kedua, Khong Seng Kee, 44, berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 392 kanun sama.
Mengikut pertuduhan, kedua-duanya dipercayai merancang insiden pada 7 Ogos lalu, selepas Tiong mengeluarkan wang dari sebuah bank di Jalan Tuanku Abdul Rahman sebelum mendakwa diserang.
Siasatan mendapati terdapat percanggahan keterangan sebelum menahan Khong, yang juga kenalan lama Tiong, serta merampas wang tunai RM600,000, beberapa telefon bimbit dan semburan pemedih mata.
Di hadapan Hakim Mazuliana Abdul Rashid, Tiong dibenarkan diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan 12 September ini ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sementara itu, di hadapan Hakim Siti Shakirah Datuk Wira Mohtarudin, Khong dibenarkan diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin.
Mahkamah menetapkan 23 September ini sebutan semula kes.