JOHOR BAHRU, 13 Ogos - Sepasang kekasih ditahan polis dipercayai terlibat dalam kes kematian seorang wanita warga emas di Kampung Bukit Siput di Segamat, Johor, 25 Julai lalu.
Kedua-dua suspek yang berusia 21 dan 19 tahun ditahan di Subang Jaya, Selangor, seminggu selepas kejadian.
Ketua Polis Johor, Komisioner Polis Ab. Rahaman Arsad berkata ketika kejadian, lima buah rumah dilaporkan terbakar sehingga menyebabkan kematian mangsa yang berusia 72 tahun.
Siasatan mendapati wujud unsur khianat dan jenayah.
Empat kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 304(b), Seksyen 436 dan Seksyen 507 Kanun Keseksaan.
"Mereka telah melakukan jenayah ini sejak Julai 2025 yang mana mereka ini diupah dengan sejumlah wang anggaran RM1,000 untuk membuat pembakaran ini oleh satu sindiket peminjam wang tanpa lesen ataupun 'Ah Long'. Mangsa adalah mereka yang gagal membayar balik pinjaman daripada syarikat 'Ah Long' tersebut," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.
Menurut beliau, pihaknya turut merampas sebuah kereta, tiga telefon bimbit, satu tong minyak dan pemetik api dipercayai digunakan untuk melakukan jenayah itu.