KUALA LUMPUR, 13 Ogos - Angkatan Tentera Malaysia (ATM) memberi jaminan akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung siasatan kes penahanan beberapa pegawainya yang disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan barang larangan.
Barang larangan itu termasuk dadah, rokok serta pelbagai barangan lain yang dipercayai diseludup oleh pihak terbabit.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar berkata, ATM mengambil maklum laporan media berhubung penahanan tersebut.
"Siasatan akan dijalankan dengan terperinci dan pihak ATM tidak akan melindungi atau berkompromi terhadap mana-mana warga ATM yang terlibat.
“Siasatan sedang dijalankan secara terperinci oleh pihak berkuasa. Jika terbukti bersalah, tindakan disiplin tegas serta tindakan undang-undang akan diambil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau turut menggesa orang ramai memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menyiasat secara menyeluruh tanpa membuat spekulasi yang boleh menjejaskan proses siasatan.
Menurutnya, sebarang perkembangan hasil siasatan dan tindakan lanjut akan dimaklumkan kepada umum dari semasa ke semasa.