IPOH, 11 November- Suspek kes bunuh ibu saudara di sebuah rumah di Jalan Pengkalan Barat 25, Taman Puteri Lindungan Bulan, Pasir Puteh, Ipoh semalam, direman lima hari bermula hari ini.
Perintah reman dikeluarkan Majistret S. Punitha di Mahkamah Majistret Ipoh selepas mendapat permohonan daripada pihak polis.
Siasatan dibuat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Pada pagi semalam, seorang wanita berusia 54 tahun ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri dan terkurung dalam sebuah bilik di rumah berkenaan.
Pemeriksaan awal mendapati mayat mangsa telah membusuk sebelum dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk bedah siasat.
Punca kematian adalah disebabkan 'Multiple Blunt Injuries'.
Susulan itu, polis menahan seorang remaja berusia 21 tahun yang merupakan anak saudara mangsa bagi membantu siasatan.