GEORGE TOWN, 11 November - Polis berjaya mematahkan satu sindiket pengedaran dadah bernilai RM3 juta melibatkan tiga serbuan secara serentak di sekitar negeri ini pada 6 November lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata lima rakan sejenayah warga tempatan dipercayai terlibat dalam aktiviti kegiatan memproses dan mengedar dadah ditahan.
Serbuan dilakukan pasukan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Bukit Aman bersama Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang itu turut berjaya membongkar sebuah makmal memproses dadah yang berselindung di sebalik sebuah rumah teres satu tingkat yang disewa.
“Pemeriksaan lanjut terhadap rumah itu turut menjumpai pelbagai jenis dadah di dalam sebuah bilik dan bahan kimia seberat 40,648 gram serta peralatan memproses dadah.
"Selain menyita dua kereta dan sebuah motosikal," katanya pada sidang media di IPK Pulau Pinang di sini, hari ini.
Modus operandi sindiket menggunakan rumah sewa sebagai makmal memproses sebelum diedar ke pasaran tempatan terutama di Pulau Pinang dan Lembah Klang.
Tambahnya, saringan air kencing yang dilakukan mendapati empat daripada suspek positif dadah dan semua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah.
Operasi ini hasil rentetan kes di Kuala Lumpur yang berjaya diselesaikan 10 ogos lalu bernilai 21 juta ringgit.
Kesemua suspek, direman selama tujuh hari hingga 13 November ini untuk membantu siasatan mengikut Sekyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.