KUALA LUMPUR, 11 November - Seorang pemandu jengkaut mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memiliki senjata api buatan sendiri dan peluru tanpa kebenaran yang sah.
Muhammad Danny David Janam, 44, didakwa memiliki dua senjata api buatan sendiri dan 22 peluru jenis 12 bore tanpa kebenaran sah di kediamannya di sebuah pangsapuri di Taman Sri Sinar, Segambut, pada jam 7 petang, 3 November lepas.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan dikenakan enam sebatan, jika sabit kesalahan.
Hakim Dr Azrol Abdullah tidak membenarkan tertuduh diikat jamin dan menetapkan 12 Dis ini untuk sebutan kes.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vivien Yeap Jie Xi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.- BERNAMA