KUALA TERENGGANU, 11 November- Seorang Penolong Pegawai Veterinar Terengganu didenda RM5,000 di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu gara-gara mengemukakan tuntutan palsu bagi kerja-kerja membekal alat ganti dan menyelenggara kenderaan jabatan.
Hakim Mohd Azhar Othman memutuskan hukuman terhadap tertuduh selepas Mohd Hisham Daud, mengaku bersalah atas dua daripada empat pertuduhan pilihan dikenakan terhadapnya.
Tertuduh didakwa meluluskan indent kerja atau pesanan tempatan bagi kerja-kerja membekal alat ganti dan menyelenggara kenderaan jabatan kepada sebuah syarikat. Empat tuntutan keseluruhan berjumlah lebih RM8,500 dikemukakan.
Bagaimanapun perkhidmatan itu tidak dilaksanakan syarikat tersebut. Bagi kesalahan itu tertuduh didakwa mengikut seksyen 471 kanun keseksaan yang boleh dihukum mengikut seksyen 465 kanun sama.
Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM2,000 dan RM3,000 bagi setiap pertuduhan. Manakala dua bulan dan tiga bulan penjara jika gagal membayar denda tersebut.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mariah Omar manakala tertuduh diwakili peguam Mohamad Afiq Farhan Mohd Hanipha.