JOHOR BAHRU, 11 November - Seramai 43 warga asing ditahan Jabatan Imigresen Malaysia, (JIM) Johor atas pelbagai kesalahan, termasuk pekerja pelayan pelanggan (GRO), menerusi Ops Gegar di Mount Austin, Johor Bahru, pada 9 November lalu.
Dalam serbuan di dua pusat hiburan pada pukul 1.30 pagi itu, turut ditahan tiga pemilik dan penjaga premis warga tempatan.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, penahanan melibatkan 38 warga Thailand, tiga Myanmar, serta dua warga Vietnam dan Laos, berusia antara 21 hingga 47 tahun.
"Antara kesalahan dikesan termasuk menjalankan aktiviti tidak bermoral dan menawarkan perkhidmatan GRO di dalam dan luar premis.
"Mereka juga didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial, bekerja tanpa permit, tidak memiliki kebenaran sah tinggal dalam negara dan tinggal lebih masa," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1)(c), Seksyen 15 (1)(c), Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 11(7)(a) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.