fb fb fb fb fb

Ops Mahir, Kutip dan Sapu: Imigresen Kelantan tahan 13 PATI

Imigresen Kelantan tahan 13 PATI dalam operasi penguatkuasaan / Foto JIM

KOTA BHARU, 12 November - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Kelantan telah menahan seramai 13 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) dalam satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan selama dua hari yang berakhir semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Imigresen (Pengurusan) Kelantan Nik Akhtarulhaq Nik Abdul Rahman berkata Ops Mahir, Kutip dan Sapu ini tertumpu di sekitar Kota Bharu dan Kuala Krai.

Beliau berkata mereka terdiri daripada lima warga Thailand, empat rakyat Myanmar, tiga Bangladesh dan seorang warga Pakistan berusia lingkungan antara 20 hingga 48 tahun.

“Kesemuanya dihantar ke Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39 (b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menggesa setiap majikan supaya menggaji warga asing yang mempunyai pas yang sah.

Selain mengingatkan orang ramai menyalurkan maklumat berkaitan kehadiran PATI atau sebarang aktiviti menyalahi undang-undang.

“Tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana pihak yang mendalangi, memudah cara dan bersubahat dalam melindungi PATI,” katanya.

Trainee