KUANTAN, 30 September – Seorang suri rumah kerugian RM223,000 selepas terpedaya dengan skim pelaburan tidak wujud yang ditawarkan melalui panggilan telefon kira-kira dua minggu lalu.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata mangsa berusia 51 tahun itu menerima panggilan daripada suspek yang menawarkan peluang pelaburan dengan pulangan tinggi.
Beliau berkata, mangsa kemudian memberikan maklumat peribadi dan diarahkan memuat turun sebuah aplikasi mudah alih melalui pautan yang dihantar suspek.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman/Foto Hiasan
“Mangsa seterusnya membuat 12 transaksi pemindahan wang menggunakan simpanan peribadi dan wang peninggalan mendiang suami ke tujuh akaun bank yang diberikan suspek.
“Bagaimanapun, mangsa menyedari ditipu selepas dimaklumkan pihak bank bahawa akaun penerima dikenal pasti terlibat dengan sindiket penipuan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Yahaya, mangsa tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong semalam.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.