PUCHONG, 30 September – Polis menahan sembilan lelaki berusia lingkungan 13 hingga 21 tahun bagi membantu siasatan insiden buli jalan raya membabitkan sebuah kenderaan berhampiran Plaza Tol Puchong, awal pagi Ahad lalu.
Ketua Polis Daerah Serdang, Penolong Pesuruhjaya Polis (ACP) Muhamad Farid Ahmad berkata tangkapan dibuat hasil beberapa siri serbuan di sekitar Puchong dan Shah Alam antara 28 hingga 29 September.
“Kesemua tangkapan dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini dan direman empat hari sehingga 3 Oktober. Daripada jumlah itu, enam orang adalah remaja bawah umur.
“Tiga buah motosikal yang digunakan semasa kejadian turut dirampas bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kejadian berkenaan tular di media sosial apabila rakaman berdurasi seminit memaparkan sekumpulan penunggang motosikal bertindak memandu secara berbahaya dan mengejar kereta mangsa sebelum salah seorang suspek menendang kenderaan itu.
Menurut Muhamad Farid, laporan dibuat oleh mangsa, seorang lelaki berusia 52 tahun yang bekerja sebagai pengawal keselamatan, kira-kira pukul 10.04 malam pada 28 September.
Mangsa memaklumkan kenderaannya ditendang ketika melalui Plaza Tol Batu 13, Puchong sehingga mengalami kerosakan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu secara gopoh dan melulu di jalan awam serta Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.
Jika sabit kesalahan, mereka boleh dikenakan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, dan penjara antara satu hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya bagi kesalahan kedua.