SARATOK, 30 September- Dua lelaki tempatan ditahan kerana disyaki terlibat dalam kes pecah rumah dan curi di Kampung Gerigat, Kabong, pada Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, kedua-dua suspek berusia 24 dan 36 tahun diberkas di sebuah rumah separa siap tanpa nombor di kampung sama pada hari kejadian.
“Hasil siasatan mendapati mereka mengaku memecah masuk rumah mangsa.
Suspek memecahkan cermin belakang rumah sebelum melarikan dua telefon bimbit dan wang tunai RM700,” katanya dalam kenyataan.
Menurut beliau, ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah.
Seorang daripada mereka mempunyai sembilan rekod jenayah lampau.
Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan.