KUANTAN, 30 September β Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang menahan reman lima peneroka haram termasuk seorang pekerja kilang durian kerana disyaki terlibat dalam kegiatan kebun durian haram serta pengubahan wang haram.
Perintah reman selama empat hari sehingga 3 Oktober itu dikeluarkan Majistret Mohd Fauzan Mohd Suhairi selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Kuantan pagi tadi.
Menurut sumber, kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 60 tahun ditahan antara pukul 12 tengah hari hingga 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Raub.
Kesemua suspek lelaki berusia lingkungan 40 hingga 60 tahun ditahan antara pukul 12 tengah hari hingga 3 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Raub/Foto SPRM
Siasatan awal mendapati mereka dipercayai memperoleh keuntungan mencecah ratusan ribu ringgit hasil kebun durian haram di tanah berstatus Hutan Simpan dan Tanah Kerajaan di salah sebuah daerah di Pahang, antara tahun 2024 hingga 2025.
Empat daripada suspek juga dikenal pasti sebagai pekebun yang enggan menyertai program pemutihan ditawarkan Sumber Durian Diraja Pahang PKPP Sdn Bhd, syarikat yang dilantik kerajaan negeri sebagai pemegang pajakan tanah sah.
Rentetan pelaksanaan Op Sekat Durian Haram sejak 25 April 2024, SPRM bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) telah menjalankan operasi bersepadu antara 2 hingga 19 September lalu, yang berjaya mengenal pasti 33 lokasi kebun durian haram dalam kawasan tanah kerajaan dan hutan simpan kekal.
Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
βKes ini disiasat di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).
"Kami juga tidak menolak kemungkinan beberapa siri tangkapan susulan akan dibuat bagi membantu siasatan,β katanya.