KUALA TERENGGANU, 30 September- Pasangan suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, atas dua pertuduhan menyalahgunakan wang milik sebuah syarikat berjumlah RM56,000.
Tertuduh, Nor Atiqah Mohamad Alwi, 36, bersama suaminya, Muhamad Fakhrullah Abd Rahim, 37, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama didakwa menyalahgunakan wang syarikat dengan mengeluarkan RM56,000 daripada akaun Maybank syarikat melalui lapan keping cek tunai.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara Ogos hingga November 2021 dan Januari 2022.
Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 dengan dua penjamin, selain mengarahkan pasport diserahkan.
Tertuduh juga perlu melapor diri di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhampiran antara 1 hingga 7 hari bulan setiap bulan.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 4 November depan.