KOTA BHARU, 1 Januari - Mahkamah Sesyen Kota Bharu hari ini, terpaksa menangguhkan prosiding kes membabitkan pasangan suami isteri warga Myanmar atas pertuduhan menganiaya seorang bayi lelaki berusia 10 bulan sehingga menyebabkan kematian.
Penangguhan itu dibuat susulan tertuduh, Munna Abdu Salam, dan isterinya Fatima Abul Hashim, tidak memahami Bahasa Melayu.
Susulan itu, Hakim, Ahmad Bazli Bahruddin menetapkan 9 Januari depan untuk pertuduhan dibacakan semula dengan kehadiran jurubahasa Myanmar.
Mengikut fakta kes, tertuduh melakukan penganiayaan terhadap seorang kanak-kanak lelaki sehingga menyebabkan kematian pada 17 Disember lalu, pukul 10.00 malam di Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai.
Kedua-dua tertuduh, bakal berdepan pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM20,000 atau penjara sehingga 10 tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Faiz Fitri Mohamad manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Ahmad Faiz Fitri dalam penghujahannya tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap kedua-dua tertuduh berikutan mereka adalah warga asing.