PADANG BESAR, 1 Januari - Batalion 1 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya mematahkan cubaan menyeludup ganja seberat lapan kilogram (kg) bernilai RM400,000 berhampiran Pos TS 13, jalan keselamatan sempadan Malaysia-Thailand, pada 31 Disember lalu.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Shahrum Hashim, berkata kejadian berlaku sekitar pukul 12.30 tengah malam ketika pasukan risikan mengesan dua individu mencurigakan berhampiran tembok sempadan.
“Pasukan kami mengesan dua penyeludup di lokasi, namun mereka sempat melarikan diri ke negara jiran dengan memanjat tembok sebaik menyedari kehadiran anggota keselamatan.
"Pemeriksaan lanjut menemukan sebuah beg galas hitam di tepi tembok yang mengandungi sembilan ketulan mampat ganja,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Barang rampasan itu telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Besar untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan,” katanya lagi.
Beliau turut menggesa orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan di kawasan sempadan agar tampil membantu pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
Siasatan juga sedang dijalankan bagi mengenal pasti sindiket dadah yang aktif di kawasan terbabit.