BUTTERWORTH, 1 Januari 2025 - Kesalahan tiada lesen memandu mencatatkan angka tertinggi, dengan 12,670 kes direkodkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang sepanjang operasi motosikal tahun lalu.
Ini diikuti oleh kesalahan cukai jalan tamat tempoh sebanyak 8,856 kes dan ketiadaan perlindungan insurans sebanyak 8,123 kes.
Pengarah JPJ Pulau Pinang, Zulkifly Ismail, turut memaklumkan terdapat kesalahan lain seperti modifikasi keterlaluan, lumba haram, tidak memakai topi keledar, dan melanggar lampu isyarat lalu lintas.
"Sebanyak 114,933 motosikal telah diperiksa dalam tempoh itu. Daripada jumlah tersebut, 24,588 kes telah diambil tindakan, dengan 44,590 notis saman dikeluarkan.
"Manakala 778 motosikal disita sepanjang tahun 2024," katanya ketika meninjau Operasi Ambang Tahun Baharu 2025 di sini malam tadi.
Operasi dijalankan bermula pukul 8.30 malam hingga 3 pagi bertujuan mengurangkan risiko kemalangan sempena cuti perayaan Tahun Baharu.