fb fb fb fb fb

Suami isteri warga China ditahan hantar emel palsu dakwa ada bom dalam pesawat

FOTO HIASAN

TAWAU, 23 September - Sepasang suami isteri warganegara China ditahan di sini semalam selepas disyaki menghantar emel berbaur ugutan mendakwa kononnya terdapat bom dalam pesawat yang dijadual berlepas dari Tawau ke Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin menerusi satu kenyataan memaklumkan, suspek berumur 28 dan 29 tahun itu ditahan di sebuah hotel di Semporna pada pukul 8 malam.

“Siasatan awal mendapati seorang daripada suspek mengaku menghantar mesej palsu tersebut melalui aplikasi rasmi sebuah syarikat penerbangan. Alasannya adalah untuk mendapatkan respons syarikat penerbangan berkenaan supaya mereka dapat menukar tempat duduk dalam penerbangan ke Kuala Lumpur sebelum transit ke Beijing,” katanya.

Jasmin berkata suspek turut mendakwa tindakan itu dilakukan selepas terbaca satu portal di China yang menyatakan cara mempercepatkan maklum balas syarikat penerbangan adalah dengan membuat aduan berbentuk ancaman.

“Emel ancaman itu dihantar ke ibu pejabat syarikat penerbangan terbabit di Kuala Lumpur pada kira-kira 11.30 malam, 20 September dan kemudian maklumat disalurkan kepada pihak keselamatan syarikat penerbangan di Lapangan Terbang Tawau,” katanya.

Beliau menambah, kedua-dua suspek kini disiasat mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Pihak Konsulat Republik China turut dimaklumkan mengenai penahanan itu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE