KUALA LUMPUR, 24 September- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan penahanan seorang Timbalan Pendakwa Raya yang baru seminggu melapor diri bertugas di suruhanjaya itu.
Pegawai terbabit ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di kediamannya semalam, dengan pemeriksaan turut menemui bahan terlarang dipercayai dadah.
SPRM dalam kenyataan hari ini memaklumkan siasatan sepenuhnya diserahkan kepada pihak berkuasa dan memberi jaminan akan memberikan kerjasama penuh.
Suruhanjaya itu turut menegaskan tidak akan berkompromi dengan sebarang salah laku, pelanggaran undang-undang atau perbuatan jenayah membabitkan pegawai serta kakitangan, selain komited memastikan integriti dan tadbir urus organisasi sentiasa terpelihara.