fb fb fb fb fb

Lapan termasuk enam PATI ditahan dalam lori di Bedong

Foto polis

BEDONG, 24 September -Dua lelaki tempatan dan enam pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam sebuah lori satu tan di tepi jalan Pekan Bedong, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata, tindakan itu dilakukan selepas sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menjalankan operasi dikawasan tersebut.

"Hasil pemeriksaan menemukan enam lelaki warga asing terdiri daripada tiga warga Indonesia dan tiga warga Myanmar dalam keadaan berbaring di bahagian belakang lori yang ditutup dengan kanvas. Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua warga asing berusia 20 hingga 51 tahun itu tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah," katanya menerusi kenyataan itu.

Kes disiasat bawah Seksyen 26A Anti Pemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Siasatan turut dilakukan mengikut Seksyen 6 (1) (C) Akta Imigresen 1959/63.
 

TETITIA YUSOFF