fb fb fb fb fb

Lelaki mengaku tidak salah rogol adik ipar

Lelaki berusia 31 tahun mengaku tidak salah rogol adik ipar

JOHOR BAHRU, 24 September - Seorang buruh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan merogol adik iparnya di Pontian, Julai tahun lalu.

Pengakuan itu dibuat tertuduh berusia 31 tahun di hadapan Hakim Madihah Zainol selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa merogol adik iparnya yang ketika kejadian berusia 15 tahun di Kampung Parit Lapis Sayang, Benut, Pontian.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta diarahkan melaporkan diri di balai polis dan menyerahkan pasport.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi penyerahan dokumen pada 24 Oktober depan.

GRACE AISYAH KEDAYAN