KOTA KINABALU, 24 September- Saksi kanak-kanak kedua meneruskan keterangannya secara tertutup (in camera) pada hari ke-13 prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, pagi ini.
Menurut pasukan pegawai pengendali kes, prosiding saksi ke-10 yang berlangsung semalam berjalan lancar di Mahkamah Kota Kinabalu.
Saksi berkenaan turut ditemani ibunya yang bertindak sebagai pendamping dengan kedua-duanya memberi kerjasama baik sepanjang prosiding bersama pasukan peguam pengendali kes.
Peguam pengendali kes memaklumkan saksi kanak-kanak ketiga dan keempat dijangka tampil memberi keterangan pada hari ini sejurus saksi kedua selesai, manakala Pelajar B, C, D dan E dijangka dipanggil bermula Khamis ini.
Larangan liputan media berhubung keterangan saksi kanak-kanak kekal dipatuhi oleh pemberita tempatan dan nasional.
Peguam yang mewakili ibu bapa Allahyarham Zara serta peguam bagi Pelajar A, B, C, D dan E juga akur dengan arahan tersebut dengan hanya membekalkan maklumat umum berkaitan prosiding.
Sementara itu, pagi tadi peguam mewakili ibu Zara turut berkongsi maklumat mengenai tiga pakar yang dibawa pihak keluarga bagi membantu prosiding inkues khususnya berkaitan bahan bukti diari milik Allahyarham Zara.