fb fb fb fb fb

Suami isteri ditahan, 90 kg ganja dirampas

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat menunjukkan bunga ganja yang dirampas dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan/ Foto BERNAMA

KOTA BHARU, 13 Julai - Polis menahan sepasang suami isteri dan merampas 90 kilogram (kg) dadah jenis ganja bernilai RM3.15 juta dalam dua operasi berasingan di Kuala Krai dan Pasir Puteh, Jumaat lalu.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat mengesahkan, lelaki dan wanita masing-masing berusia 31 dan 49 tahun itu ditahan pada pukul 4 pagi ketika berada dalam sebuah kereta yang mencurigakan di Jalan Padang Sembilan, Kuala Krai. 

"110 bungkusan plastik yang dilabel sebagai kacang gajus, didapati berisi tumbuhan kering yang kita syak adalah dadah jenis bunga ganja dengan anggaran berat lebih kurang 60.8 kg dan keduanya 14 ketulan mampat disyaki dadah ganja juga dengan anggaran berat 6.95 kilogram", katanya.

Susulan penahanan itu, polis menyerbu rumah suspek di Selising, Pasir Puteh dan menemukan 22.16 kg ganja mampat yang disembunyikan dalam rumah dan kenderaan kedua di halaman rumah.

Kegiatan itu dipercayai dilakukan sejak lebih setahun lalu dengan suspek lelaki berselindung di sebalik kerjaya sebagai pemandu e-hailing, manakala isterinya bekerja sebagai peniaga ayam proses.

Selain dadah, polis turut merampas wang tunai berjumlah RM2,422, barangan kemas, serta dua buah kenderaan, menjadikan keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM3.15 juta ringgit.

Polis percaya dadah berkenaan adalah dari jenis bunga ganja dengan nilai pasaran mencecah RM35,000 sekilogram, disyaki untuk pasaran luar negara.

Saringan air kencing mendapati suspek lelaki positif methamphetamine, manakala suspek wanita negatif.

Siasatan lanjut juga mendapati, kedua-duanya mempunyai dua rekod kesalahan lampau berkaitan narkotik.

Kes disiasat bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan, boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan tidak kurang 12 sebatan.

Suspek direman tujuh hari hingga 17 Julai untuk siasatan lanjut.
 

MASNIZA AWANG KECHIK