fb fb fb fb fb

PGA rampas rokok putih seludup bernilai lebih RM2 juta

Lebih 1 juta batang rokok putih diseludup dalam serbuan di sebuah kuari di Pasir Puteh, Kelantan pada Jumaat lalu/Foto PGA

PASIR PUTEH, 13 Julai - Lebih sejuta batang rokok putih disyaki rokok seludup dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam serbuan di sebuah kawasan kuari di Mukim Jerus, Bukit Jawa, di sini, Jumaat lalu.

Serbuan menerusi Op Taring Alpha 1 pada pukul 6.30 pagi itu turut membawa kepada penahanan seorang lelaki warga Indonesia yang ditemui bersembunyi dalam sebuah kabin di kawasan berkenaan.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, lelaki terbabit gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan dipercayai menjadi penjaga rokok terbabit.

“Hasil pemeriksaan menemui sebanyak 1.15 juta batang rokok putih pelbagai jenama disimpan dalam beberapa buah kenderaan serta kontena di lokasi tersebut.

“Semua rokok itu dipercayai diseludup masuk dari negara jiran untuk pasaran tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, nilai keseluruhan rampasan termasuk rokok, kenderaan dan kontena dianggarkan mencecah RM2.215 juta.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

GRACE AISYAH KEDAYAN