TAPAH, 14 Julai - Penemuan mayat lelaki dalam gaung di Kampung Batu 23, Jalan Pahang di sini pada Sabtu diklasifikasi sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Johari Yahya dalam satu kenyataan memaklumkan, hasil bedah siasat yang dijalankan Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada 9.15 pagi semalam, mendapati punca kematian lelaki berumur lingkungan 30-an itu adalah akibat dipukul dengan objek tumpul.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Johari Yahya
"Terdapat kesan lebam di bahagian belakang badan serta kedua-dua tangan mangsa.
"Susulan itu, kes diklasifikasikan sebagai bunuh dan disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya.
Menurutnya, cap jari mangsa turut diambil bagi mendapatkan identitinya.
Beliau berkata, terdahulu polis menerima maklumat mengenai penemuan mayat berkenaan pada pukul 12.43 tengah hari Sabtu daripada orang awam.
Kenyataan media IPD Tapah
"Mayat lelaki itu ditemukan berkemeja-T putih dan berseluar pendek hitam serta tiada dokumen pengenalan diri dalam keadaan terbaring di bawah tebing setinggi 15 meter.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil di balai polis berdekatan atau terus menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di talian 05-4011222,” katanya.