fb fb fb fb fb

Op Samseng Jalanan: Remaja 18 tahun ditahan buat aksi "wheelie", 24 motosikal disita

FOTO IPD KUANTAN

KUANTAN, 14 Julai - Seorang remaja lelaki berusia 18 tahun ditahan ketika menyertai aktiviti samseng jalanan dalam operasi khas yang dijalankan di sekitar Bandaraya Kuantan, semalam.

Remaja terbabit ditahan kerana menunggang motosikal secara melulu dan melakukan aksi berbahaya ‘wheelie’, iaitu mengangkat tayar hadapan ketika menunggang di jalan awam.

Menurut Pemangku Ketua Polis Daerah Kuantan, Penguasa Polis (SUPT) Mohd Adli Mat Daud, remaja berkenaan kini disiasat mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Jika disabit kesalahan, beliau boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda antara RM5,000 hingga RM15,000 serta penggantungan lesen memandu.

Jelas beliau lagi, Ops Samseng Jalanan yang dijalankan itu turut menyaksikan sebanyak 194 saman trafik dikeluarkan selain 24 buah motosikal disita mengikut Seksyen 64(1) akta sama.

Antara kesalahan yang dikesan termasuk nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada cermin sisi, penggunaan ekzos bising, tiada lesen memandu, serta pengubahsuaian kenderaan tanpa kebenaran.

Turut direkodkan ialah kesalahan melibatkan insurans, lesen P, tidak memakai topi keledar, sistem brek yang tidak berfungsi dengan baik, serta penunggang bawah umur.

Operasi bersepadu itu dijalankan susulan aduan orang awam di media sosial mengenai kegiatan lumba haram dan aksi motosikal berbahaya yang kerap berlaku setiap hujung minggu di sekitar bandar ini.

PDRM Kuantan menegaskan pihaknya akan terus mempergiatkan pemantauan dan operasi di kawasan-kawasan berisiko tinggi termasuk laluan dari Soi ke Tanjung Lumpur seperti yang dilaporkan oleh orang ramai.

Orang awam, khususnya golongan belia, dinasihatkan agar tidak menjadikan jalan raya sebagai medan perlumbaan atau lokasi untuk melakukan aksi berbahaya yang boleh mengancam nyawa sendiri dan pengguna jalan raya lain.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE