JOHOR BAHRU, 14 Julai – Polis Johor berjaya menyelamatkan tiga individu termasuk dua kanak-kanak yang menjadi mangsa sindiket eksploitasi kerja, penipuan seksual dan pemerasan dalam talian menerusi Op Bugil yang dilancarkan baru-baru ini.
Operasi yang dijalankan antara 20 Jun hingga 1 Julai itu turut membawa kepada penahanan sembilan individu yang disyaki ahli sindiket, termasuk dua wanita.
Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar, berkata sindiket berkenaan dipercayai mula aktif sejak November tahun lalu dan menyasarkan mangsa untuk melakukan panggilan video lucah melalui pautan khas yang dihantar ke telefon mereka.
“Sindiket akan hantar link pada telefon bimbit mangsa. Apabila mangsa buka pautan tersebut, mereka (sindiket) akan dapat akses kepada 'phonebook' dan galeri gambar. Selepas itu, mangsa akan dipujuk untuk melakukan aktiviti lucah melalui panggilan video,” jelas beliau dalam sidang media hari ini.
Setakat ini, seorang lelaki dewasa berusia 26 tahun telah berjaya diselamatkan daripada menjadi mangsa pemerasan seksual sindiket terbabit.
Selain itu, dua kanak-kanak masing-masing berusia 15 dan 16 tahun turut diselamatkan selepas dipercayai dipaksa bekerja dalam aktiviti penipuan dalam talian dan didera secara seksual. Mereka juga dipercayai telah dikurung oleh sindiket berkenaan.
Kes kini disiasat bawah pelbagai peruntukan undang-undang termasuk Peraturan Pendaftaran Negara 1990, Akta Pasport 1966, dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.
Turut digunakan ialah peruntukan bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007, serta Akta Pertubuhan 1966.
Polis Johor menegaskan komitmen untuk terus mempergiat usaha membanteras kegiatan jenayah terancang yang menyasarkan golongan rentan seperti kanak-kanak dan remaja melalui platform digital.
Sebahagian daripada barang rampasan