fb fb fb fb fb

SPRM tidak kesan kesalahan isu dakwaan pemalsuan dokumen pemain warisan

Foto fail

KUALA LUMPUR, 28 September - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak mengenal pasti sebarang asas kesalahan di bawah Akta SPRM 2009 berhubung dakwaan pemalsuan dokumen pendaftaran tujuh pemain warisan oleh Persatuan Bolasepak Kebangsaan (FAM).

SPRM menegaskan, berdasarkan semakan awal isu tersebut dilihat sebagai berkaitan dengan proses teknikal dan tidak berada dalam bidang kuasa SPRM buat masa ini.

"SPRM telah berhubung dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan turut mengadakan pertemuan dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Hasil daripada kerjasama tersebut, SPRM telah dibekalkan dengan beberapa dokumen berkaitan proses permohonan dan pendaftaran kewarganegaraan pemain-pemain terbabit," menurut kenyataan itu di sini, hari ini.

Sehubungan itu, SPRM tidak akan berhubung dengan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan menyerahkan sepenuhnya isu tersebut kepada FAM untuk diselesaikan bersama FIFA.

SPRM menyeru semua pihak agar memberi ruang kepada proses penyelesaian yang sedang berlangsung dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menjejaskan perbincangan antara pihak-pihak terlibat.

Terdahulu, media melaporkan FAM dan tujuh pemain warisan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib FIFA, selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

Tujuh pemain terbabit ialah ialah Gabriel Palermo, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.#

ROSLINA BINTI DIN