PUTRAJAYA, 17 Mac- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman dua pemilik syarikat dan seorang kerani kerana disyaki terlibat dalam sindiket yang merasuah pegawai kerajaan bagi mempercepatkan proses permohonan taraf warganegara Malaysia oleh warga asing.
Perintah reman selama lima hari sehingga 20 Mac 2025 dikeluarkan Mahkamah Majistret Putrajaya terhadap seorang kerani lelaki berusia lingkungan 20-an, manakala dua suspek lelaki berjawatan pengarah syarikat berusia lingkungan 30-an direman selama empat hari.
Menurut sumber, ketiga-tiga suspek ditahan antara pukul 1 pagi hingga 1.30 petang pada Ahad di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.
Operasi Op Fastlane merupakan susulan daripada Op Outlander yang dijalankan pada 11 Mac lalu.
Suspek dipercayai membayar rasuah antara RM5,000 hingga RM150,000 bagi setiap permohonan kewarganegaraan.
Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Idris Zaharuddin mengesahkan tangkapan tersebut dan memaklumkan bahawa kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.