fb fb fb fb fb

SPRM tahan reman tiga penjawat awam

Tiga penjawat awam ditahan reman SPRM Labuan

KUALA LUMPUR, 23 Januari- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Labuan menahan reman tiga penjawat awam sebuah jabatan kerajaan kerana dipercayai menyalahgunakan kedudukan dan jawatan; dengan melantik sebuah syarikat milik ahli keluarga untuk membekalkan alatan sukan mencecah ribuan ringgit.

Majistret Kasyfurrahman Abang Ahmad mengeluarkan perintah reman di Mahkamah Majistret Labuan pagi tadi terhadap ketiga-tiga suspek berusia sekitar 40-an selama lima hari, bermula esok sehingga 28 Januari depan.

Menurut sumber, ketiga-tiga suspek menggunakan kedudukan dan jawatan apabila melantik dua syarikat; salah satunya milik isteri manakala satu lagi milik adik kandung salah seorang daripada mereka.

Ia bagi urusan pembekalan alatan sukan dengan kontrak dianggarkan berjumlah RM80,000.

Bagaimanapun siasatan awal mendapati kontrak itu membabitkan kerja-kerja pembekalan alatan sukan untuk sekolah-sekolah di Labuan sekitar tahun 2018 hingga 2021.

Ketiga-tiga suspek ditahan sekitar pukul 7.00 hingga 8.00 malam semalam, ketika hadir di Pejabat SPRM Labuan bagi memberi keterangan.

Pengarah SPRM Labuan Datu Robbyie Shym Datu Pindatun mengesahkan tangkapan terhadap ketiga-tiga suspek, dan kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI