fb fb fb fb fb

Ketua sindiket, ibu dan tiga rakan didakwa edar dadah bernilai RM1.23 juta

Tiga tertuduh lelaki dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU, 23 Januari- Ketua sindiket dadah dan ibunya serta tiga lagi suspek dihadapkan di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan terlibat kegiatan pengedaran barang terlarang itu melibatkan nilai rampasan RM1.23 juta.

Tertuduh, Wang Chei Wei, 41; ibunya, Ah Yee Hwa, 62, dan rakan mereka Chan Siew Han, 60; Tay Khai Seng, 34 dan Yup Zu Jin, 28, mengganguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsuddin.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kelima-lima tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan pertama dan kedua, kesemua mereka didakwa secara bersama mengedar dadah jenis ekstasi dengan anggaran berat kasar 16,473 gram dan ganja (7,760 gram).

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut di sebuah Pangsapuri Taman Larkin Idaman, sini, pada 10 Januari lalu, pukul 5.30 pagi.

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 39 B(1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, tertuduh pertama, Wang Chei Wei mengaku bersalah terhadap tiga lagi pertuduhan iaitu memiliki dadah jenis syabu seberat 1.77 gram, Erimin 5 (0.59 gram) dan ganja (4.93 gram).

Bagi tiga pertuduhan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 12 (2) dan Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kes dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aqiilah Ahmad Rofaei, manakala tertuduh, Tay Khai Seng dan Yup Zu Jin yang juga merupakan pasangan suami isteri diwakili peguam Jihad Syahida Nadia Zakaria serta Nurhazneena Zureen Jaesleen Mohamad Hanafiah. 

Mahkamah menetapkan 23 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi serahan laporan kimia dan tiada jaminan ditawarkan kepada kelima-lima tertuduh.

2301 MAHKAMAH EDAR DADAH 2

Dua tertuduh wanita dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini

SITI AISHAH BINTI MD ISA