fb fb fb fb fb

SPRM siasat lima pegawai ATM termasuk bekas pegawai kanan

SPRM siasat lima pegawai ATM termasuk bekas pegawai kanan

KUALA LUMPUR, 14 Ogos – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang menjalankan siasatan ke atas tiga pegawai dan dua bekas pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dipercayai terbabit dalam sindiket penyeludupan barang larangan termasuk dadah dan rokok melibatkan perairan Selat Melaka, khususnya di kawasan Melaka dan Johor.

Kelima-lima individu berkenaan, terdiri daripada anggota Tentera Darat dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, bagi melengkapkan siasatan, pihaknya akan mendapatkan maklumat tambahan daripada Kementerian Pertahanan (MINDEF), termasuk beberapa laporan berklasifikasi sulit.

"Saya juga berterima kasih kepada Panglima Angkatan Tentera kerana memberikan kerjasama kepada SPRM yang memudahkan kerja kami untuk menjalankan siasatan.

"Sudah tentu kita akan pergi kepada MINDEF pula untuk mendapatkan banyak lagi maklumat-maklumat mereka yang terlibat ini dan mendapatkan beberapa laporan sulit daripada pihak MINDEF," katanya.

Beliau berkatad demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Persidangan Meja Bulat Ketua Pesuruhjaya SPRM 2025 di ibu negara hari ini.

Tambah beliau, tangkapan terhadap lima individu terbabit dibuat menerusi Op Sohor hasil kerjasama Bahagian Perisikan SPRM dan Pasukan Taktikal SPRM atau Anti-Corruption Tactical Squad (ACTS).

Tangkapan dilakukan hasil operasi yang dijalankan sekitar pukul 6.30 pagi semalam di beberapa lokasi berasingan di Lembah Klang, melibatkan 10 individu termasuk tiga pegawai dan dua bekas pegawai kanan tentera berusia antara 30 hingga 55 tahun.

Turut ditahan dalam operasi itu ialah seorang warga Indonesia yang dipercayai turut mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.

Kesemua mereka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini bagi permohonan reman di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009.

SPRM tidak menolak kemungkinan lebih ramai individu akan dipanggil untuk memberi keterangan dalam masa terdekat.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI