fb fb fb fb fb

Mahkamah Rayuan kekal hukuman penjara 12 tahun ke atas Siti Bainun

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali (dua, kiri) hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini untuk pendengaran rayuannya terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun bagi kesalahan mengabai serta menganiaya seorang remaja perempuan sindrom down dikenali sebagai Bella/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 Ogos - Mahkamah Rayuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun terhadap pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali.

Ia berhubung sabitan dua pertuduhan mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom down, dikenali sebagai Bella, empat tahun lalu.

Keputusan itu diumumkan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Azman Abdullah selepas menolak rayuan akhir Siti Bainun, 33, selaku perayu.

Prosiding dikendalikan di hadapan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamed, Tetralina Ahmad Fauzi, Analia Kamaruddin dan Muhammad Hidayat Wahab.

Sebelum ini, pihak pembelaan Siti Bainun mengemukakan notis usul bagi memasukkan bukti baharu dalam rayuan akhir anak guamnya.

Pada 2 Mei tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan, mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun Siti Bainun, yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen sebelum itu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya mangsa berusia sehingga menyebabkannya kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju di ibu negara pada Februari hingga Jun 2021.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pertama, Siti Bainun dipenjara 10 tahun manakala bagi pertuduhan kedua tertuduh dipenjara 12 tahun. Kedua-dua hukuman itu berjalan serentak bermula tarikh sabitan.

Selain hukuman penjara, Siti Bainun juga diarah melaksanakan khidmat masyarakat selama 200 jam yang perlu disempurnakan dalam tempoh enam bulan selepas tamat hukuman penjara.

Pada 3 Mei 2023, Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur turut menjatuhkan hukuman itu selepas Siti Bainun didapati bersalah atas dua pertuduhan itu.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI