fb fb fb fb fb

SPRM serbu kediaman pengasas Fashion Valet, sita barangan bernilai RM200,000

Foto Hiasan / Bernama

KUALA LUMPUR, 6 Oktober – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Rabu melakukan serbuan di kediaman pasangan suami isteri pengasas platform e-dagang, Fashion Valet, Datin Vivy Yusof dan suaminya, Datuk Fadzaruddin Shah Anuar, yang terletak di Mont Kiara, Kuala Lumpur.

Menurut sumber, pasangan tersebut tiba di SPRM pada pukul 1 tengah hari untuk memberi keterangan, sebelum dibawa ke kediaman mereka sekitar pukul 5.30 petang bagi tujuan pembongkaran.

"Serbuan yang disertai oleh 12 pegawai SPRM serta peguam pasangan tersebut berakhir pada pukul 8 malam.

"Antara barangan yang disita termasuk 11 beg tangan dan seutas jam tangan berjenama mewah, dengan anggaran nilai keseluruhan sekitar RM200,000," katanya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan serbuan tersebut dan menjelaskan bahawa kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Pasangan tersebut dijadual akan hadir semula ke SPRM pada Khamis bagi menyambung memberi keterangan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN