fb fb fb fb fb

Cederakan lelaki: Kerabat diraja Pahang antara lima individu didakwa

Foto BERNAMA

KUANTAN, 7 November-Seorang kerabat diraja Pahang antara lima individu didakwa di Mahkamah Majistret Kuantan, hari ini atas pertuduhan mencederakan seorang lelaki, 6 Jun lalu.

Kelima-lima tertuduh, Nik Norhisham Affendi Nik Mohd Zani, 39 tahun; Mohd Fouzi Md Nur, 44 tahun; Mohd Taufik Daud, 32 tahun; Khairul Azhar Rosli, 38 tahun; dan Tengku Eddie Akasya Tengku Abd Rahman, 20 tahun; mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa bersama-sama mencederakan Alias Awang, 44 tahun, di bahagian paha kanan menggunakan sebilah pisau di sebuah bangsal kuda di Jalan Teluk Sisek, Kuantan pada pukul 12.20 tengah malam.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Jika sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga sepuluh tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.

Pendakwaan diketuai Pengarah Pendakwaan Negeri Pahang, Shahrizat Ismail.

Mahkamah kemudian membenarkan ikat jamin sebanyak RM7,000 setiap seorang.

Tarikh sebutan semula kes ditetapkan pada 11 Disember depan.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD