fb fb fb fb fb

Pindah barang kawalan: 38,500 liter diesel dirampas

Foto RTM

SETIU, 7 November- 38,500 liter diesel melibatkan nilai rampasan keseluruhan mencecah RM982,035 dirampas dalam serbuan di tapak Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu.

Kejayaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu itu, hasil risikan selama dua minggu.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata pemeriksaan lanjut mendapati pihak syarikat yang mengendalikan projek terbabit mempunyai permit yang sah menyimpan diesel.

Namun, tempat simpanan dalam permit bukan beralamat seperti di lokasi.

Pemegang permit disyaki telah memindahkan barang kawalan ke lokasi yang tidak diluluskan Pengawal Bekalan dan memindahkan diesel ke tempat yang tidak berlesen dan melebihi had kuantiti yang dibenarkan.  

"Malahan pemegang permit berkenaan turut disyaki mempunyai dalam milikan minyak diesel yang melebihi had kuantiti yang dibenarkan di dalam permit.

"Dianggarkan 23,000 liter minyak diesel ditemui dalam lori tangki dan 15,500 liter dalam dua skid tank. Dua lelaki tempatan, pengurus tapak projek dan pemandu lori telah ditahan bagi membantu siasatan", katanya dalam sidang media di sini.

Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

KPDN memberi amaran tegas kepada semua pihak berkaitan agar mematuhi semua peraturan ditetapkan.

Trainee2