fb fb fb fb fb

SPRM bongkar sindiket seleweng subsidi diesel bernilai RM247 juta

Tan Sri Azam Baki (tiga,kanan) menunjukkan wang tunai yang dirampas pada sidang media khas berhubung operasi yang dijalankan SPRM di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini / BERNAMA

PUTRAJAYA, 22 September - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membongkar sindiket penyelewengan subsidi diesel yang dianggarkan menyebabkan kerugian hasil negara berjumlah RM247 juta dalam tempoh hampir 10 tahun.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, jumlah kerugian itu dijangka meningkat apabila siasatan lanjut dijalankan kerana subsidi berkenaan sepatutnya dinikmati oleh rakyat.

"Ini anggaran, tetapi apabila siasatan lanjut selesai, saya percaya jumlahnya akan lebih tinggi. Bukan sekadar RM247 juta kerana hasil daripada tindakan terdahulu turut melibatkan pemulangan wang dan denda kepada kerajaan," katanya kepada pemberita pada sidang media khas di pejabatnya pagi tadi.

Operasi bersepadu dikenali sebagai Ops Karen dijalankan bersama Pasukan Petugas Agensi-Agensi Penguatkuasa Malaysia (MATF) berdasarkan analisis aliran kewangan mencurigakan serta maklumat orang awam. Operasi berlangsung dari 2 hingga 8 September di perairan Sabah dan Sarawak, melibatkan lebih 100 pegawai bersama agensi lain termasuk LHDN, Bank Negara, JKDM, KPDN serta ATM yang menyediakan aset taktikal seperti helikopter dan bot tempur.

Sehingga kini, enam individu telah ditahan bagi membantu siasatan, manakala 36 saksi telah dirakam percakapan.

Sindiket berkenaan dipercayai melibatkan pengarah dan pengurus syarikat bergelar “Datuk” serta kumpulan jenayah terancang yang beroperasi melalui rangkaian bawah tanah, termasuk di Bintulu, untuk mengalirkan diesel melalui saluran haram.

Tan Sri Azam menegaskan, pelbagai tindakan susulan akan diambil termasuk rampasan, siasatan lanjut, serta penyenaraian hitam oleh Kementerian Kewangan dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, bagi memastikan integriti sistem subsidi minyak serta memulihkan aset kerajaan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE