fb fb fb fb fb

Dua beranak direman kes tetak di Paya Nahu

Foto fail

SUNGAI PETANI, 22 September -Suspek lelaki berusia 20-an yang disyaki terlibat dalam kejadian tetak seorang pemuda di Flat Paya Nahu, Sungai Petani, Kedah, semalam ditahan reman selama lima hari bermula hari ini.

Turut ditahan reman ialah bapa suspek berusia 50 tahun bagi membantu siasatan.
 
Perintah reman dikeluarkan terhadap dua beranak berkenaan oleh Mahkamah Sungai Petani, pagi tadi.
 
Dalam kejadian pukul 3.00 petang semalam, seorang pemuda berusia 30an cedera selepas ditetak seorang individu tidak dikenali di Blok A5, Flat Paya Nahu.
 
Dalam kejadian itu, mangsa pergi ke rumah abangnya di blok berkenaan. Semasa sampai di rumah abangnya, kakak iparnya memaklumkan abangnya tiada di rumah lalu mangsa menunggu abangnya di bawah blok A5.
 
Bagaimanapun suspek datang secara tiba-tiba lalu menetak mangsa dengan menggunakan senjata tajam.
 
Akibat tetakan tersebut, mangsa mengalami cedera parah di tangan dan kaki sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk rawatan lanjut.
 
Mangsa kini sedang menerima rawatan di zon merah di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH). 

Hasil soal siasat, saksi kejadian mendakwa suspek dalam keadaan mabuk sejak dari awal pagi.
 
Suspek berjaya ditahan di lokasi kejadian selepas melakukan perbuatan tersebut.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan berkata siasatan awal setakat ini mendapati, kejadian tidak melibatkan unsur dadah atau gangsterisme.

Kes disiasat bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
 

TETITIA YUSOFF