fb fb fb fb fb

Ibu tunggal didakwa khianat dengan api di Kluang

Vun Lee Fon, 46 tahun didakwa membakar sebuah kereta sehingga menyebabkan pemiliknya kerugian RM688, selain didakwa melakukan khianat dengan niat menyebabkan kerosakan kepada kereta dan rumah milik seorang wanita

KLUANG, 22 September - Seorang ibu tunggal, Vun Lee Fon, 46 tahun, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kluang hari ini atas dua pertuduhan melakukan khianat dengan api awal bulan ini.

Pengakuan dibuat selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin di hadapan Hakim Mujib Saroji.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa membakar sebuah kereta sehingga menyebabkan pemiliknya kerugian RM688, selain didakwa melakukan khianat dengan niat menyebabkan kerosakan kepada kereta dan rumah milik seorang wanita.

Kesalahan tersebut dilakukan di Taman Matahari dan Taman Sri Permai, Kluang pada 3 dan 5 September lalu, dan tertuduh didakwa mengikut Seksyen 435 dan Seksyen 436 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Ramizah Ramli, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Mahkamah membenarkan jaminan sebanyak RM14,000 untuk kedua-dua pertuduhan, dan menetapkan kes disebut semula pada 15 Oktober depan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE