fb fb fb fb fb

Lelaki cedera ditetak individu tidak dikenali di Sungai Petani

Foto ehsan orang awam

SUNGAI PETANI, 21 September - Seorang pemuda berusia 30-an cedera parah selepas ditetak individu tidak dikenali.

Kejadian berlaku di Blok A5, Flat Paya Nahu, Sungai Petani, Kedah, petang tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, ACP Hanyan Ramlan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa pergi ke rumah abangnya di blok berkenaan.

Semasa sampai di rumah abangnya, kakak iparnya memaklumkan abangnya tiada di rumah lalu mangsa menunggu abangnya di bawah blok A5.

Bagaimanapun seorang lelaki berusia 20-an datang secara tiba-tiba lalu menetak mangsa dengan menggunakan senjata tajam.

Akibat tetakan tersebut, mangsa mengalami cedera parah di tangan dan kaki sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut.

Mangsa kini sedang menerima rawatan di zon merah HSAH.

Hasil soal siasat, saksi kejadian mendakwa suspek dalam keadaan mabuk sejak dari awal pagi dan suspek berjaya ditahan di lokasi kejadian selepas melakukan perbuatan tersebut.

Kes disiasat dibawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan.

Polis akan memohon reman terhadap suspek di Mahkamah Sungai Petani, esok.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN