PUTRAJAYA, 16 Jun- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berjaya membongkar kegiatan penyelewengan dana sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) hasil sumbangan orang ramai dipercayai mencecah RM26 juta.
Menurut Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan memaklumkan kegiatan itu terbongkar susulan tangkapan lima suspek termasuk pengerusi, setiausaha, bendahari dan pegawai kewangan pertubuhan berkenaan menerusi Op Serantau, di beberapa lokasi sekitar Selangor, Melaka serta Pulau Pinang, Khamis lalu.
Lima suspek terbabit kini direman selama tujuh hari, dengan empat daripadanya direman sehingga Rabu dan seorang lagi sehingga Khamis.
"Modus operandi yang digunakan bagi tujuan penyelewengan dana itu hampir sama seperti kes melibatkan Pertubuhan Aman Palestin iaitu pemindahan wang ke akaun peribadi serta membeli barang kemas, kereta, tanah serta rumah termasuk membeli mata wang kripto.
Mereka juga dipercayai memindahkan dana pertubuhan ke akaun peribadi bagi memberi pinjaman kepada kakitangan pertubuhan terbabit selain menggelapkan wang lebihan projek pembinaan telaga bagi misi kemanusiaan di Syria untuk kegunaan sendiri," tambah kenyataan itu.
Kegiatan haram itu dipercayai berlaku sejak tahun 2015 sehingga hari ini.
"SPRM telah menyita pelbagai aset berjumlah lebih RM8 juta iaitu barang kemas dianggarkan bernilai kira-kira RM100,000, wang tunai berjumlah lebih RM1 juta, akaun kripto melibatkan nilai kira-kira RM650,000 dan empat unit rumah dianggarkan bernilai lebih RM1.4 juta," tambah Tan Sri Azam.
SPRM turut membekukan 14 akaun perbankan melibatkan jumlah hampir RM5 juta bagi tujuan siasatan lanjut.
Kes disiasat bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.