fb fb fb fb fb

Permohonan Muhyiddin pindah kes ke Mahkamah Tinggi dibenarkan

FOTO BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Jun- Mahkamah Tinggi hari ini membenarkan permohonan bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk memindahkan tujuh pertuduhan berkaitan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin selepas mendapati permohonan tersebut memenuhi kriteria di bawah Seksyen 417(1)(b) Kanun Acara Jenayah (KAJ) yang membolehkan kes dipindahkan untuk dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Dalam prosiding hari ini, mahkamah mendengar hujahan yang dikemukakan peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Muhyiddin selaku pemohon, serta hujahan balas oleh Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.

“Saya telah mendengar permohonan pemohon dan membaca afidavit yang difailkan kedua-dua pihak. Pemohon memenuhi peruntukan untuk kes ini dipindahkan ke Mahkamah Tinggi di bawah Seksyen 417(1)(b) KAJ,” kata Muhammad Jamil.

Beliau turut menegaskan bahawa tiga persoalan undang-undang yang akan timbul daripada pertuduhan itu adalah “luar biasa sukar” dan memerlukan perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Sehubungan itu, mahkamah menetapkan 14 Julai depan sebagai tarikh pengurusan kes yang akan ditentukan oleh Timbalan Pendaftar.

Sementara itu, pihak pendakwaan memaklumkan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan berkenaan.

Terdahulu, pada 4 April lalu, Ahli Parlimen Pagoh itu memohon agar kes dipindahkan ke Mahkamah Tinggi atas alasan melibatkan isu undang-undang yang kompleks dan berkepentingan awam. Permohonan itu turut menyatakan bahawa perbicaraan di Mahkamah Tinggi lebih sesuai dan tidak memudaratkan mana-mana pihak.

Empat daripada pertuduhan terhadap Muhyiddin melibatkan dakwaan menyalahgunakan kedudukan sebagai Perdana Menteri dan Presiden BERSATU untuk mendapatkan suapan berjumlah RM232.5 juta daripada seorang individu dan tiga syarikat.

Tiga lagi pertuduhan membabitkan penerimaan wang hasil aktiviti haram berjumlah RM200 juta daripada Bukhary Equity Sdn Bhd yang dimasukkan ke dalam akaun parti.

Pada 15 Ogos tahun lalu, Mahkamah Tinggi membatalkan empat pertuduhan atas alasan ia kabur dan tidak berasas. Namun pada 28 Februari lalu, Mahkamah Rayuan memerintahkan semua pertuduhan itu dikembalikan ke Mahkamah Sesyen untuk tindakan lanjut.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE